Nabi Zakaria, ayahnya Nabi Yahya
sedar dan mengetahui bahawa anggota-anggota keluarganya,
saudara-saudaranya, sepupu-sepupunya dan anak-anak saudaranya adalah
orang-orang jahat Bani Israil yang tidak segan-segan melanggar
hukum-hukum agama dan berbuat maksiat, disebabkan iman dan rasa
keagamaan mereka belum meresap betul didalam hati mereka, sehingga
dengan mudah mereka tergoda dan terjerumus ke dalam lembah kemungkaran
dan kemaksiatan. Ia khuatir bila ajalnya tiba dan meninggalkan mereka
tanpa seorang waris yang dapat melanjutkan pimpinannya atas kaumnya,
bahawa mereka akan makin rusak dan makin berani melakukan kejahatan dan
kemaksiatan bahkan ada kemungkinan mereka mengadakan
perubahan-perubahan di dalam kitab suci Taurat dan menyalah-gunakan
hukum-hukum agama.
Kekhuatiran itu selalu mengganggu fikiran Zakaria disamping rasa sedih
hatinya bahawa ia sejak kahwin hingga mencapai usia sembilan puluh
tahun, Tuhan belum mengurniakannya dengan seorang anak yang ia
idam-idamkan untuk menjadi penggantinya memimpin dan mengimami Bani
Isra'il. Ia agak terhibur dari rasa sedih dan kekhuatirannya semasa ia
bertugas memelihara dan mengawasi Maryam yang dapat dianggap sebagai
anak kandungnya sendiri. Akan tetapi rasa sedihnya dan keinginanya yang
kuat untuk memperolhi keturunan tergugah kembali ketika ia menyaksikan
mukjizat hidangan makanan dimihrabnya Maryam. Ia berfikir didalam
hatinya bahawa tiada sesuatu yang mustahil di dalam kekuasaan Allah.
Allah yang telah memberi rezeki kepada Maryam dalam keadaan seorang
diri tidak berdaya dan berusaha, Dia pula berkuasa memberinya keturunan
bila Dia kehendaki walaupun usianya sudah lanjut dan rambutnya sudah
penuh uban.
Pada suatu malam yang sudah larut duduklah Zakaria di mihramnya
menghiningkan cipta memusatkan fikiran kepada kebesaran Allah seraya
bermunajat dan berdoa dengan khusyuk dan keyakinan yang bulat. Dengan
suara yang lemah lembut berucaplah ia dalam doanya: "Ya Tuhanku
berikanlah aku seorang putera yang akan mewarisiku dan mewarisi
sebahagian dari keluarga Ya'qub, yang akan meneruskan pimpinan dan
tuntunanku kepada Bani Isra'il. Aku khuatir bahawa sepeninggalanku
nanti anggota-anggota keluargaku akan rusak kembali aqidah dan imannya
bila aku tinggalkan mati tanpa seorang pemimpin yang akan menggantikan
aku. Ya Tuhanku, tulangku telah menjadi lemah dan kepalaku telah
dipenuhi uban sedang isteriku adalah seorang perempuan yang mandul
namun kekuasaan-Mu adalah diatas segala kekuasaan dan aku tidak
jemu-jemunya berdoa kepadamu memohon rahmat-Mu mengurniai kau seorang
putera yang soleh yang engkau redhai."
Allah berfirman memperkenankan permohonan Zakaria: "Hai Zakaria Kami
memberi khabar gembira kepadamu, kamu akan memperoleh seorang putera
bernama Yahya yang soleh yang membenarkan kitab-kitab Allah menjadi
pemimpin yang diikuti bertahan diri dari hawa nafsu dan godaan syaitan
serta akan menjadi seorang nabi."
Berkata Zakaria: "Ya Tuhanku bagaimana aku akan memperolehi anak
sedangkan isteri adalah seorang perempuan yang mandul dan aku sendiri
sudah lanjut usianya."
Allah menjawab dengan firman-Nya: "Demikian itu adalah suatu hal yang
mudah bagi-Ku. Tidakkah aku telah ciptakan engkau padahal engkau di
waktu itu belum ada sama sekali?"
Berkata Zakaria: "Ya Tuhanku, berilah aku akan suatu tanda bahawa
isteri aku telah mengandung." Allah berfirman: "Tandanya bagimu bahawa
engkau tidak dapat berkata-kata dengan manusia selama tiga hari
berturut-turut kecuali dengan isyarat. Dan sebutlah nama-Ku
sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah diwaktu petang dan pagi hari."
Nabi Yahya bin Zakaria a.s. tidak banyak dikisahkan oleh Al-Quran
kecuali bahawa ia diberi ilmu dan hikmah selagi ia masih kanak-kanak dan
bahawa ia seorang putera yang berbakti kepada kedua ora ng tuanya dan
bukanlah orang yang sombong durhaka. Ia terkenal cerdik pandai,
berfikiran tajam sejak ia berusia muda, sangat tekun beribadah yang
dilakukan siang dan malam sehingga berpengaruh kepada kesihatan
badannya dan menjadikannya kurus kering, wajahnya pucat dan matanya
cekung.
Ia dikenal oleh kaumnya sebagai orang alim menguasai soal-soal
keagamaan, hafal kitab Taurat, sehingga ia menjadi tempat bertanya
tentang hukum-hukum agama. Ia memiliki keberanian dalam mengambil
sesuatu keputusan, tidak takut dicerca orang dan tidak pula menghiraukan
ancaman pihak penguasa dalam usahanya menegakkan kebenaran dan melawan
kebathilan.
Ia selalu menganjurkan orang-orang yang telah berdosa agar bertaubat
dari dosanya. Dan sebagai tanda taubatnya mereka dipermandikan {
dibaptiskan } di sungai Jordan, kebiasaan mana hingga kini berlaku di
kalangan orang-orang Kristian dan kerana Nabi Yahya adalah orang
pertama yang mengadakan upacara itu, maka ia dijuluki "Yahya
Pembaptis".
Dikisahkan bahawa Hirodus Penguasa Palestin pada waktu itu mencintai
anak saudaranya sendiri bernama Hirodia, seorang gadis yang cantik,
ayu, bertubuh lampai dan ramping dan berhasrat ingin mengahwininya.
Sang gadis berserta ibunya dan seluruh anggota keluarga menyentujui
rencan perkahwinan itu, namun Nabi Yahya menentangnya dan mengeluarkan
fakwa bahawa perkahwinan itu tidak boleh dilaksanakan kerana
bertentangan dengan syariat Musa yang mengharamkan seorang mengahwini
anak saudaranya sendiri.
Berita rencana perkahwinan Hirodus dan Hirodia serta fatwa Nabi Yahya
yang melarangnya tersiar di seluruh pelosok kota dan menjadi
pembicaraan orang di segala tempat di mana orang berkumpul. Herodia si
gadis cantik calon isteri itu merasa sedih bercampur marah terhadap
Nabi Yahya yang telah mengeluarkan fatwa mengharamkan perkahwinannya
dengan bapa saudaranya sendiri, fatwa mana telah membawa reaksi dan
pendapat dikalangan masyarakat yang luas. Ia khuatir bahawa bapa
saudaranya Herodus calon suami dapat terpengaruh oleh fatwa Nabi Yahya
itu dan terpaksa membatalkan perkahwinan yang sudah dinanti-nanti dan
diidam-idamkan, bahkan bahkan sudah menyiapkan segala sesuatu berupa
pakaian mahupun peralatan yang perlu untuk pesta perkahwinan yang telah
disepakati itu.
Menghadapi fatwa Nabi Yahya dan reaksi masyarakat itu, Herodia tidak
tinggal diam. Ia berusaha dengan bersenjatakan kecantikkan dan parasnya
yang ayu itu mempengaruhi bapa saudaranya calon suaminya agar rencana
perkahwinan dilaksanakan menurut rencana. Dengan merias diri dan
berpakaian yang merangsang, ia pergi mengunjungi bapa saudaranya
Herodus yang sedang dilanda mabuk asmara. Bertanya Herodus kepada anak
saudaranya calon isterinya yang nampak lebih cantik daripada biasa :
"Hai manisku, apakah yang dapat aku berbuat untukmu. Katakanlah aku
akan patuhi segala permintaanmu, kedatanganmu kemari pada saat ini
tentu didorong oleh sesuatu hajat yang mendesak yang ingin engkau
sampaikan kepadaku. Sampaikanlah kepadaku tanpa ragu-ragu, hai
sayangku, aku sedia melayani segala keperluan dan keinginanmu."
Herodia menjawab: "Bila Tuan Raja berkenan, maka aku hanya mempunyai
satu permintaan yang mendorongku datang mengunjungi Tuanku pada saat
ini. Permintaanku yang tunggal itu ialah kepala Yahya bin Zakaria orang
yang telah mengacau rencana kita dan mencemarkan nama baik Tuan Raja
dan namaku sekeluarga di segala tempat dan penjuru. Supaya dia
dipenggal kepalanya. Alangkah puasnya hatiku dan besarnya terima
kasihku, bila Tuanku berkenan meluluskan permintaanku ini".
Herodus yang sudah tergila-gila dan tertawan hatinya oleh kecantikan
dan keelokan Herodia tidak berkulik menghadapi permintaan calon
isterinya itu dan tidak dapat berbuat selain tunduk kepada kehendaknya
dengan mengabaikan suara hati nuraninya dan panggilan akal sihatnya.
Demikianlah maka tiada berapa lama dibawalah kepala Yahya bin Zakaria
berlumuran darah dan diletakkannya di depan kesayangannya Herodia yang
tersenyum tanda gembira dan puas hati bahawa hasratnya membalas dendam
terhadap Yahya telah terpenuhi dan rintangan utama yang akan
menghalangi rencana perkahwinannta telah tersingkirkan, walaupun
perbuatannya itu menurunkan laknat Tuhan atas dirinya, diri rajanya dan
Bani Isra'il seluruhnya.
Cerita tentang Zakaria dan Yahya terurai di atas dikisahkan oleh
Al-Quran, surah Maryam ayat 2 sehingga ayat 15, surah Ali Imran ayat 38
senhingga ayat 41 dan surah Al-Anbiya' ayat 89 sehingga ayat 90.